BANGKOK – Seorang lelaki berumur 80 tahun mati selepas dipijak gajah liar ketika mangsa berkhemah di Taman Negara Khao Yai di Thailand pada awal pagi kelmarin.
Akhbar Bangkok Post melaporkan serangan itu berlaku di tapak perkhemahan di Pha Kluai Mai ketika mangsa sedang tidur.
Pihak berkuasa tiba ke lokasi kejadian kira-kira pukul 1.50 pagi (waktu tempatan) sebelum menemui mayat mangsa.
Mangsa dikenal pasti sebagai Prayot Jitbun berasal dari wilayah Samut Prakan.
Beberapa pelancong memberitahu polis bahawa seekor gajah liar mengelilingi kenderaan mangsa dan membuat serangan.
Gajah itu naik minyak secara tiba-tiba, menghentak kaki ke atas khemah mangsa dan melempar jasad Prayot ke udara sebelum terkena dahan sebatang pokok.
Pegawai taman mengesahkan gajah bernama Phlai Due itu sudah dipakaikan kolar penjejak sejak 8 Januari lalu.
“Mangsa memasang khemah jauh dari pelancong lain dan membawa bekalan buah-buahan dalam kenderaannya.
“Gajah itu mungkin lapar dan tercium bau buah-buahan. Phlai Due sebenarnya mudah terganggu dan amuk selepas gagal memperoleh makanan yang dihidu,” kata pihak berkuasa. – Agensi