PETALING JAYA – “Nak menyandar sebab lenguh. Eh, makin lenguh dibuatnya! Sudahlah bunyi tu mengundang kecaman orang sekeliling.”
Itu keluhan seorang wanita mengenai ‘fungsi’ deretan kerusi yang materialnya diperbuat daripada besi dan sering dilihat diletakkan di premis-premis awam.
Munyati Jawahir MJ menambah, kerusi besi berkenaan lebih mengeluarkan bunyi kurang menyenangkan jika ia diduduki oleh orang yang berbadan besar.
“Lagi-lagi kita ini gemuk. Orang awam cakap, ‘kasihan kerusi menanggung beban’, padahal memang kerusi tu berbunyi sejak keluar dari kedai,” luahnya di Facebook.
Rupa-rupanya ramai yang bersetuju dengan perkongsian wanita itu, malah tidak kurang juga dalam kalangan mereka meluahkan rasa ‘dendam’ dan tidak puas hati dengan ‘kewujudan’ kerusi seperti itu.
“Kerusi ni kena pakai seat belt (tali pinggang keledar),” komen Nur Syadirah Tahir.
“Tengah sakit duduk kena tunggu giliran mata terlelap. Eh, bangun-bangun dah kat bawah rupanya tengah main gelongsor!,” kongsi Nur Fathilah Amaya.
“Dapat pula orang sebelah kaki tak reti diam, dengan aku sekali menari henjut-henjut kerusi tu,” kata Saffee Rahim.
“Duduk ja gelongsor ke bawah, naik balik. Terlelap kejap, gelongsor balik . Ha, ulanglah berkali-kali sampai angka giliran kita!,” ujar Iqmal Pami. – KOSMO! ONLINE