PETALING JAYA – Sebanyak 66 peratus rakyat Malaysia yang terlibat dalam satu tinjauan berkaitan penjagaan kesihatan iaitu Talker Research, gagal mengawal diet menjelang akhir tahun dan 40 peratus daripada mereka mengakui bahawa punca kegagalan adalah disebabkan daripada godaan makanan semasa perayaan.
Menurut kajian tersebut, ramai responden mengakui menghentikan tabiat sihat mereka untuk menikmati musim cuti sepenuhnya.
Malah, 61 peratus bersetuju bahawa musim akhir tahun lebih mudah dinikmati dan mereka tidak perlu bimbang tentang tabiat sihat dan berat badan mereka.
Mengulas mengenai hasil tinjauan berkenaan, Pengurus Besar Herbalife Malaysia dan Singapura, Steven Chin berkata, azam tahun baharu adalah cara terbaik untuk memulakan perjalanan anda ke arah kesihatan yang lebih baik, tetapi kunci sebenar adalah mengekalkan momentum selepas Januari.
“Mulakan dengan matlamat kecil yang boleh dicapai dan terapkannya dalam rutin harian anda. Seiring dengan komitmen yang konsisten, azam anda boleh berubah menjadi tabiat sihat yang berkekalan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.
Tinjauan ini dilaksanakan oleh Talker Research, bagi pihak Herbalife, melibatkan 5,500 individu dewasa di 11 buah negara.
Selain 500 rakyat Malaysia ia turut melibatkan individu dari Australia, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Korea, Malaysia, Filipina, Singapura, Taiwan, Thailand dan Vietnam.
Tinjaun itu adalah untuk meninjau bagaimana orang ramai melihat kepentingan tabiat sihat dan langkah yang diambil ke arah hidup lebih sihat dalam jangka masa panjang.
Selain itu, dalam kajian berkenaan, 40 peratus responden memaklumkan bahawa mereka kurang sihat apabila menghampiri penghujung tahun dan 46 peratus pula menangguhkan usaha untuk mengambil makanan sihat pada musim ini.
Menjawab soalan mengapa mereka lebih cenderung untuk menyerah pada godaan tahun ini, lebih daripada separuh responden memberitahu bahawa apabila mereka semakin berusia, mereka lebih senang memilih untuk berserah dan menikmati kesempatan masa yang ada (51 peratus), diikuti dengan perasaan bersyukur mereka masih dapat meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan, seterusnya mendorong kepada kawalan diri yang lebih rendah (46 peratus).
“Cuti akhir tahun sering kali diraikan bersama orang tersayang dan ia boleh dinikmati dengan penuh kesedaran terhadap kesihatan anda.
“Manjakan diri dengan hidangan enak musim perayaan tetapi cuba imbangi dengan hidangan yang berkhasiat selain kekal aktif, sama ada dengan berjalan kaki bersama keluarga atau melakukan aktiviti rekreasi.
“Buatlah pilihan yang bijak bagi membolehkan anda menikmati perayaan sebaik mungkin. Dengan sedikit perancangan, anda boleh meraikan cuti sambil mengekalkan tabiat yang sihat,” jelas Steven. -KOSMO! ONLINE