MILTON KEYNES – Ketua pasukan Red Bull Racing, Christian Horner sudah mula membayangkan saingan Formula Satu (F1) musim depan akan menjadi lebih sengit menerusi perpindahan Lewis Hamilton ke Ferrari.
Beliau berpendapat, kempen 2025 bakal menyaksikan kebangkitan semula juara dunia tujuh kali itu dibantu dengan kemampuan jentera Ferrari yang dikatakan sudah semakin hampir dengan prestasi sebenar.
Horner wajar berasa bimbang memandangkan bukan hanya Ferrari bakal memberi ancaman kepada mereka, malah McLaren juga mampu untuk terus menekan Red Bull, sama seperti yang berlaku pada musim ini.
“Saya fikir dia (Hamilton) akan melakukan kebangkitan semula pada saingan musim hadapan. Dia seorang pelumba yang sangat beremosi, jadi permulaan bersama pasukan itu sangat penting buatnya.
“Ferrari merupakan satu jenama cukup besar selain memiliki pengikut yang ramai. Sekiranya dia menerima sokongan padu, saya percaya dia mampu melakukan sesuatu meskipun pada usia seperti itu,” katanya.
Dalam pada itu, Horner juga percaya hubungan dingin antara Hamilton bersama pasukan Mercedes sebelum ini turut menjadi salah satu punca prestasi pelumba berusia 39 tahun itu merudum.
“Sekiranya Lewis (Hamilton) mampu bangkit, ia akan menjadi satu cerita hebat dalam sejarah Formula Satu. Mungkin kita lihat dia sedikit tenggelam sebelum ini sehingga menyebabkan hubungannya bersama Mercedes renggang,” ujarnya. – AGENSI