MANCHESTER – Pengendali Manchester United, Ruben Amorim digesa membuat pilihan tepat dalam menyenaraikan kesebelasan utama pasukan itu biarpun memberikan keutamaan terhadap sistem penggiliran.
Kekalahan 0-3 ketika berdepan Bournemouth di Old Trafford Ahad lalu dikatakan berpunca daripada senarai kesebelasan yang tidak begitu baik terutama apabila menggunakan khidmat Joshua Zirkzee sebagai penyerang utama dan menyisihkan Rasmus Hojlund.
Zirkzee dilihat gagal menjalankan tugasnya sebagai penggempur pada perlawanan itu hanya berjaya melakukan empat hantaran yang berjaya menerusi 19 sentuhan dan memenangi tiga daripada tujuh pertembungan dengan pemain lawan.
Perlawanan tersebut juga menyaksikan pengurus dari Portugal itu menyisihkan Marcus Rashford buat kali ketiga selepas aksi menentang Manchester City dan Tottenham Hotspur pada aksi Piala Liga Inggeris.
Menjelang aksi menentang Wolves di Stadium Molineux awal pagi Jumaat ini, Amorim memberi bayangan untuk kembali menggunakan khidmat pemain tersebut biarpun Rashford dikaitkan dengan perpindahan pada jendela Januari ini.
“Saya akan membuat keputusan nanti dan sentiasa ada kemungkinan kerana proses pemilihan itu memiliki kriteria. Saya mahu melihat yang terbaik daripada para pemain dan saya mencuba benda baharu dengan pemain yang berbeza. Itu bergantung (kemungkinan Rashford disenaraikan). Kita akan melihatnya nanti,” katanya.
Selain itu, Alejandro Garnacho yang masuk sebagai pemain gantian untuk aksi ketiga berturut-turut berjaya mempamerkan aksi terbaik untuk tempoh 35 minit dengan 27 sentuhan dan memiliki 84 peratus ketepatan hantaran menyebabkan dia turut digesa berada dalam kesebelasan utama nanti. – AGENSI