KUALA SELANGOR – Seorang guru taska yang didakwa mencubit pipi dan telinga bayi lelaki berusia 11 bulan menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Tertuduh, Nur Suhadah Saharudin, 24, mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan semula di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menganiaya mangsa hingga menyebabkan kecederaan fizikal di sebuah taska di Puncak Alam di sini, pukul 6.15 petang, 13 Disember lalu.
Justeru, Nur Suhadah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Jumaat lalu, wanita itu mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan di Mahkamah Sesyen Klang yang juga pada hari pernikahannya.
Mahkamah itu kemudianmenetapkan hari ini bagi serahan fakta kes dan jatuh hukum.
Nur Suhadah dibenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan tidak mengganggu mangsa.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Elyza Amira Habeeb Rahman manakala tertuduh diwakili peguam Harnidawati Awangku Ibrahim.
Nurul Mardhiah menetapkan sebutan kes pada 4 Februari depan bagi serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE.