KUALA LUMPUR – Kejayaan pesilat negara, V. Thamaraj muncul juara dunia bagi kategori terbuka atas 110 kilogram (kg) terus membakar semangat atlet berusia 28 tahun itu untuk memburu lebih banyak kejuaraan pada masa hadapan.
Atlet kelahiran Sungai Petani, Kedah itu sudah mula memberi bayangan untuk menambah koleksi kejuaraan di pentas antarabangsa dengan memburu emas pada Kejohanan Asia yang dijadualkan berlangsung di Uzbekistan tahun depan.
Thamaraj berkata, dua pingat perak Asia yang diraih pada penampilan sebelum ini turut menjadi pembakar semangat buatnya biarpun perlu berdepan cabaran sukar daripada pesilat-pesilat negara lain.
“Ya, saya pernah memenangi dua pingat perak (Kejohanan Asia) sebelum ini, jadi mahu dapatkan emas pula. Memang saya nak sasarkan pingat emas buat Malaysia pada Kejohanan Asia di Uzbekistan nanti.
“Bagaimanapun, masih belum tahu bulan berapakah kejohanan tersebut. Saya juga tidak kisah jumpa siapa-siapa pun, saya tetap akan lawan,” katanya.
Ahad lalu, Thamaraj yang merupakan anggota tentera berpangkat Koperal melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pesilat berbangsa India pertama meraih kemenangan pada Kejohanan Pencak Silat Dunia di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Pada aksi final itu, dia yang memiliki ketinggian 1.92 meter memahat namanya selaku juara dunia selepas menewaskan lawan dari Uzbekistan, Diyorbek Khudoyberdiev.
Sementara itu, Thamaraj turut menyifatkan, silat boleh dipraktikkan oleh semua orang tanpa mengira kaum selain perlu menjalani latihan intensif bagi menyesuaikan diri dengan seni bela diri tersebut.
“Saya nak cakap silat ini semua orang boleh praktik tetapi ia bukanlah sesuatu yang senang. Kena berlatih betul-betul untuk memahirkan diri,” ujarnya yang sudah berkhidmat selama 10 tahun bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM). – KOSMO! ONLINE