NEW YORK – Satu pembunuhan beramai-ramai lebih 200 orang di Haiti pada bulan ini adalah bagi mematuhi arahan seorang ketua gengster dengan kebanyakan mangsa yang terdiri daripada warga emas, diseret keluar dari kediaman masing-masing sebelum ditembak atau ditetak dengan parang, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu semalam.
Kesemua mangsa dituduh mengamalkan ilmu sihir atau ajaran voodoo. Ketua gengster itu menuduh mereka meracuni anaknya. Mereka dibawa ke sebuah ‘pusat latihan’ di mana ramai mangsa dicincang atau dibakar selepas dibunuh.
Sebuah pertubuhan kemasyarakatan berkata, ketua gengster itu percaya anak lelakinya jatuh sakit akibat disihir oleh pengikut agama voodoo.
“Pada petang 6 Disember 2024, Micanor Altes mengarahkan gengnya yang terdiri daripada 300 orang melancarkan ‘pemburuan manusia’. Mereka menyerbu sekitar 10 lorong di sebuah kejiranan di ibu kota Haiti, Port-au-Prince dan menyeret keluar mangsa-mangsa dari kediaman mereka,” kata laporan tersebut.
Laporan itu ditulis bersama oleh pejabat PBB di Haiti, BINUH dan Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia PBB(OCHR).
Beberapa hari kemudian, kumpulan penjenayah sama kembali ke kejiranan tersebut dan menculik pengikut-pengikut di sebuah kuil voodoo serta membunuh mereka yang cuba melarikan diri.
“Sebilangan mangsa sama ada dibakar atau dicincang dan dibuang ke dalam laut selepas dibunuh,” demikian menurut laporan PBB.
Seramai 134 lelaki dan 73 wanita dibunuh dalam tempoh keseluruhan selama enam hari, tambah laporan sama. – AFP