PETALING JAYA – Pihak berkuasa digesa supaya segera menubuhkan ‘task force’ atau pasukan khas bagi menyiasat tragedi kemalangan yang meragut tujuh nyawa di Kilometer 204, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke Simpang Ampat, Melaka, malam tadi.
Ia susulan siasatan awal kemalangan itu didapati berpunca daripada tayar hadapan sebelah kanan lori yang terlibat dalam kejadian tersebut tercabut dan berada di tengah lebuh raya.
Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, berkata, siasatan secara lebih terperinci melalui ‘task force’ penting bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
“Takziah buat ahli keluarga kepada mangsa yang terlibat. Laporan khas sebuah media berkenaan kemalangan maut hari ini membabitkan kenderaan berat wajar dipandang serius.
“Sebanyak 825 kemalangan maut melibatkan lori direkodkan dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini dengan purata nahas tiga lori dalam sehari seperti yang didedahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dalam laporan ini sangat membimbangkan,” katanya di Facebook.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka mengesahkan tujuh individu termasuk seorang bayi perempuan maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara), malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 malam itu, mangsa lain yang maut adalah empat penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima, manakala dua lagi adalah pemandu serta penumpang sebuah bas persiaran.
Pengarah JBPM Melaka, Mohd. Pisar Aziz berkata, jumlah keseluruhan mangsa terlibat adalah seramai 40 orang dengan tujuh daripadanya telah disahkan meninggal dunia. – KOSMO! ONLINE