PETALING JAYA – Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.75 sen seunit untuk Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.
Jumlah tersebut terdiri daripada pengagihan pendapatan sebanyak 5.5 sen seunit dan bonus sebanyak 0.25 sen seunit, melibatkan keseluruhan pengagihan pendapatan sebanyak RM10.1 bilion kepada 11.1 juta pemegang unit ASB.
Ia merupakan peningkatan signifikan berbanding 5.25 sen seunit yang telah dibayar pada tahun 2023.
Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, pihaknya berbesar hati kerana ASB mampu memberikan agihan dividen yang paling kukuh sepanjang tempoh lima tahun.
“Ini meneruskan rekod prestasi kukuh Dana Harga Tetap ASNB berbanding portfolio rujukan mereka, sejajar dengan matlamat PNB untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat merentas generasi,” katanya dalam kenyataan. – KOSMO! ONLINE