fbpx

Takaful Malaysia sumbang RM500,000 untuk mangsa banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Na'im ketika menerima sumbangan tersebut semalam.

PETALING JAYA – Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) menyalurkan bantuan berjumlah RM500,000 melalui Program Skuad Musa’adah Al-Falah bersama Mangsa Banjir Seluruh Negara 2024 menerusi inisiatif Misi Bantuan Banjir yang diselaraskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, sumbangan yang disalurkan melalui Tabung Musa’adah itu merupakan sebahagian daripada usaha syarikat memberi bantuan segera kepada komuniti terjejas bencana tersebut.

Katanya, bantuan kewangan itu merupakan sebahagian tanggungjawab sosial korporat mereka, sejajar dengan usaha dan komitmen Takaful Malaysia terhadap pembangunan dan kesejahteraan komuniti.

“Kami komited dalam memupuk tanggungjawab kolektif ke arah membantu golongan kurang bernasib baik dan membina masyarakat yang prihatin.

“Sumbangan ini juga adalah tanda sokongan kami terhadap inisiatif kebajikan yang dijalankan Jakim melalui Tabung Musa’adah,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Replika cek sumbangan itu diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Tambah Nor Azman, bantuan kewangan itu dapat meringankan beban mangsa banjir terutama golongan kurang berkemampuan dan membantu mereka meneruskan kehidupan harian selepas bencana.

“Sumbangan yang diberikan ini dapat digunakan sama ada untuk memberi bantuan kewangan harian, menyokong pendidikan dan menyediakan rawatan kesihatan selain diperluas untuk membaik pulih kediaman serta penyediaan alat sokongan untuk individu berkeperluan khas.

“Besar harapan kami agar dapat meringankan beban mangsa banjir dan membantu mereka bangkit semula selepas bencana ini,” katanya.

Sementara itu katanya, Takaful Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam menyokong usaha kemanusiaan dan inisiatif pembangunan sosial melalui program tanggungjawab sosial korporat.

“Kami percaya, sokongan dan kerjasama antara agensi kerajaan, organisasi korporat, dan masyarakat amat penting dalam usaha membina komuniti yang berdaya tahan,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI