fbpx

Syed Saddiq, 3 lain gagal mula semakan kehakiman cabar kerajaan berhenti dana RM730,300

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Saddiq ketika hadir di Mahkamah Tinggi hari ini. Foto oleh Saddam Yusof/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan tiga lain gagal dalam permohonan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar tindakan kerajaan yang memberhentikan peruntukan dana RM730,300 bagi perbelanjaan kebajikan rakyat di kawasan Parlimen berkenaan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan demikian selepas mendapati permohonan yang dibuat Syed Saddiq dan tiga pihak lain selaku pemohon itu melebihi tempoh masa selain ia adalah remeh dan menyusahkan.

“Bagaimanapun, jika mahkamah tersilap dalam membuat kesimpulan itu, mahkamah terikat dengan prinsip undang-undang melalui kes terdahulu bahawa perkara membabitkan dasar eksekutif bukan dalam ruang lingkup budi bicara mahkamah untuk menentukannya,” kata Hakim Wan Ahmad Farid.

Semasa prosiding, Syed Saddiq serta tiga pihak lain itu diwakili peguam Lim Wei Jiet manakala Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan dan Peguam Persekutuan Ng Wee Li mewakili kerajaan selaku responden.

Pada 23 April lalu, Syed Saddiq dan tiga lain ya yang merupakan pengundi di kawasan Parlimen Muar iaitu Najib Abu Nawar, Mohd. Bakirudin Abdullah dan Muhamad Fadzly Bisri selaku memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan Lim Wei Jiet dengan menamakan Perdana Menteri Malaysia dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua.

Mereka memohon perintah bagi membatalkan keputusan memberhentikan atau membatalkan baki RM500,000 daripada jumlah RM1.7 juta yang sepatutnya disalurkan secara terus kepada akaun bank Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar bagi tujuan perbelanjaan untuk program kebajikan, kesejahteraan rakyat dan bencana bagi kawasan Parlimen Muar.

Selain itu, mereka memohon membatalkan keputusan kedua-dua responden membatalkan akses pemohon pertama (Syed Saddiq) terhadap sistem myKHAS yang menguruskan permohonan peruntukan pembangunan RM2 juta untuk kawasan tersebut serta keputusan membatalkan beberapa projek secara kolektif berjumlah RM230,300 yang dimohon oleh pemohon pertama dan diluluskan dalam sistem myKHAS untuk peruntukan pembangunan RM2 juta.

Mereka juga memohon untuk membatalkan keputusan kedua-dua responden, yang enggan meluluskan atau memberikan apa-apa peruntukan kepada pemohon pertama sebagai Ahli Parlimen Muar untuk program di bawah ‘Projek Mesra Rakyat’ ataupun yang seumpama dengannya bagi tahun 2024.

Permohonan itu difailkan antaranya atas alasan responden-responden melanggar hak kesamarataan Syed Saddiq selaku Ahli Parlimen Muar dan tiga pemohon lain sebagai pengundi kawasan Parlimen itu yang termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI