fbpx

Komponen kapal usia lebih 200 tahun ditemui semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mesran (kiri) memeriksa kepingan tembaga yang diambil daripada bangkai kapal British di Kuala Lipis semalam.

LIPIS – Lebih 100 batang paku dan lapisan tembaga dengan berat lebih 100 kilogram yang dijarah dari bangkai sebuah kapal berusia lebih 200 tahun telah dipulangkan semula kepada Jabatan Warisan Negara (JWN).

Ketua Pengarah JWN, Mesran Mohd. Yusop berkata, komponen yang diperbuat daripada tembaga itu diserahkan pemilik kedai besi buruk di Kuala Lipis di sini semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, beberapa penduduk Kampung Penjom di sini telah menjarah bangkai kapal tersebut untuk mendapatkan komponen tembaga setelah terdampar di tebing sungai selepas banjir besar di daerah ini surut.

“Lebih 100 batang paku tembaga dan lapisan tembaga dengan berat lebih 100 kilogram telah dikembalikan. Semua komponen tembaga itu diambil dan dijual di kedai besi buruk dengan harga lebih RM1,000.

“Memang diakui, kami kesal dengan apa yang berlaku dan akan cuba melakukan restorasi atau memasang semula bangkai kapal itu dengan komponen-komponen asal yang masih ada,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

INILAH paku yang dijual di kedai besi buruk.

Mesran memberitahu, kawasan sekitar penemuan itu juga telah dikawal rapi oleh pihaknya bagi mengelak kejadian sama daripada berulang.

“Sebelum kejadian banjir, pihak kami telah menerima a­duan penduduk kampung mengenai penemuan kapal lama di dasar sungai.

“Malangnya, kerja ekskavasi untuk mencari gali terpaksa ditunda disebabkan keadaan cuaca buruk pada ketika itu yang tcuri idak mengizinkan.

“Tidak sangka pula kapal pe­ninggalan British pada sekitar 1820-an itu timbul semasa banjir dan tersadai di tebing sungai selepas bah surut,” ujarnya.

Kata beliau, pihaknya sedang melakukan rancangan rapi bagi memulakan operasi ekskavasi di kawasan sungai itu untuk mencari artifak yang mungkin tenggelam bersama kapal tersebut.

“Kita percaya, mungkin ada beberapa lagi artifak berharga yang mempunyai nilai sejarah di dasar sungai berhampiran lokasi penemuan.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan aktiviti cari gali tanpa kebenaran atau mengambil serta menyimpan komponen kapal itu kerana bertentangan dengan Seksyen 47 Akta Warisan Kebangsaan 2005,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd. Noor berkata, tiada tangkapan dibuat setakat ini.

“Kapal itu disalut tembaga dan mereka telah mengambil tembaga dan paku untuk dijual.

“Orang kampung yang me­ng­ambil barangan berkenaan telah menyerahkan kembali, jadi tiada tangkapan dibuat,” ujarnya.

Kosmo! semalam melaporkan, bangkai sebuah kapal bersalut tembaga dipercayai dibina pada tahun 1,800 ditemui terdampar di tepi Sungai Lipis berhampiran Kampung Pagar, Penjom, Lipis, Pahang pada Rabu lalu selepas banjir besar.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI