MELAKA – Nahas ngeri yang mengorbankan tujuh nyawa termasuk lima sekeluarga di Kilometer 204, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini malam tadi berpunca daripada tayar lori tercabut yang berada di lorong tengah laluan berkenaan.
Kemalangan pada pukul 8.45 malam itu melibatkan lima buah kenderaan termasuk bas persiaran yang membawa 27 penumpang, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima, lori, treler dan Perodua Bezza.
Lima mangsa yang meninggal dunia merupakan penumpang MPV Toyota Estima dikenali sebagai Khairul Izwan Mazupi, 32, dan isterinya, Fadzlenna Ramli, 32, serta anak mereka, Muhammad Umar, 2.
Turut terkorban bapa Fadzlenna, Ramli Ab. Wahab, 66, dan seorang lagi masih belum dikenal pasti identitinya.
Dua lagi anak pasangan itu iaitu Muhammad Uwais Al-Qarni, 7, dan Nur Sofea Humaira, 4, terselamat, namun masing-masing dilaporkan parah serta mengalami kecederaan ringan.
Kedua-dua mereka kini dirawat di Hospital Melaka.
Turut maut adalah pemandu bas, Noorisnien Khamid, 56, dan seorang penumpang yang juga masih belum dikenal pasti identitinya.
Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di seluruh anggota badan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, ketika kejadian lori jenis Foton dan bas persiaran tersebut dalam perjalanan dari arah utara ke selatan, manakala tiga lagi kenderaan lain dari arah bertentangan.
Ujarnya, nahas berlaku selepas tayar hadapan kanan lori yang dipandu lelaki berusia 31 tahun dipercayai tercabut dan berada di lorong tengah lebuh raya.
“Sebaik tiba di lokasi, pemandu bas persiaran melanggar tayar tersebut menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.
“Bas tersebut kemudian merempuh kereta Perodua Bezza sebelum terbabas ke lorong kiri dan melanggar penghadang jalan. Kenderaan itu kemudian bertembung dengan treler dan MPV Toyota Estima dinaiki lapan sekeluarga tersebut,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk dibedah siasat. Semua kenderaan terlibat ditahan untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- KOSMO! ONLINE.