PETALING JAYA – Sebuah kafeteria di Kolej Profesional Mara Indera Mahkota diarah tutup ekoran tahap kebersihan yang amat tidak memuaskan.
Menerusi perkongsian di Facebook Pengerusi Mara, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan telah diambil oleh Pegawai Kesihatan Daerah Kuantan susulan pemeriksaan ke atas kafeteria terbabit.
Katanya, tindakan tersebut dilakukan susulan lawatan beliau ke kolej berkenaan beberapa hari lalu.
“Hari ini Pegawai Kesihatan Daerah Kuantan maklumkan bahawa salah satu kafeteria makan diarahkan ditutup akibat tahap kebersihan yang amat tidak memuaskan. Terima kasih Kementerian Kesihatan (KKM).
“Ini sebagai pengajaran kepada semua pengusaha-pengusaha kafe yang lain agar sentiasa menjaga kebersihan dalam penyediaan makanan kepada pelajar,” katanya.
Tambah Asyraf, beluau selalu peringatkan agar utamakan keselamatan dan kesejahteraan pelajar dan bukan semata-mata mengejar keuntungan yang dijana dengan cara yang tidak betul.
“Fikirlah soal keberkatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.