LONDON – Tindakan seorang lelaki yang bergegas menyelamatkan anggota polis ketika rambutnya sedang digunting mengundang perhatian orang ramai, lapor stesen penyiaran NDTV semalam.
Kejadian berlaku di hadapan kedai Haron Barbers Warrington di Cheshire, baru-baru ini.
Rakaman di laman X memaparkan Kyle Whiting, 32, berlari keluar dari kedai bersama kain gunting rambut masih melekat pada badannya.
Dia membantu menangkap suspek yang menyerang anggota polis berkenaan sebelum dibantu oleh penduduk tempatan.
Rakaman itu mencatatkan lebih 2.4 juta tontonan dan rata-rata, netizen memuji sikap Whiting kerana tidak mementingkan diri sendiri.
“Bukan Spiderman tetapi ‘Haircutman’,” komen seorang netizen. – AGENSI