SEREMBAN – Seorang bapa tiga anak melahirkan rasa kesyukuran apabila dibebaskan lebih awal selepas dijatuhi hukuman penjara selama 10 bulan.
Banduan dikenali sebagai Azhar, 36, merupakan antara 41 individu terpilih yang diberikan pelepasan secara lesen (PBSL) Ihsan Madani untuk memulakan kehidupan baharu dengan sokongan masyarakat dan majikan.
“Ikutkan hukuman saya lama lagi, berterima kasih beri kepercayaan untuk saya melakukan pekerjaan di luar sana,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani (Kepulangan Di Nanti) sempena Krismas di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Mantin, di sini, hari ini.
Bercerita mengenai kesilapan lalu terjebak dalam penagihan ganja, Azhar memberitahu dia kesal mengulangi kesalahan sama menyebabkan terpaksa meringkuk dalam penjara.
Sementara itu, Pengarah Penjara Negeri Sembilan, Ahmad Mustaqim Che Bisi memberitahu, seramai 41 banduan Penjara Negeri Sembilan dipilih selepas melalui beberapa tapisan dan layak dipertimbang untuk mengikuti Program Pemulihan Dalam Komuniti sehingga dibebaskan.
“Inisiatif ini bukan sahaja dapat membantu pihak industri dalam mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing, malah berupaya mengurangkan stigma negatif masyarakat terhadap banduan,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang majikan Hairoi Izzat Jumah, 29, berkata, premisnya antara yang paling awal mendapatkan khidmat pekerja bekas banduan dan menggaji 200 orang sejak 2015. – KOSMO! ONLINE