fbpx

‘Kru kapal kargo sangka kami lanun’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Ikmal tidak dapat menahan sebak ketika ditemui di Jeti Limbongan Batu Maung, hari ini.

BALIK PULAU – Dua pemuda yang diselamatkan selepas ha­nyut di laut selama enam hari menceritakan, mereka disangka sebagai lanun ketika cuba me­minta tolong daripada beberapa buah kapal kargo.

Muhammad Ikmal hakimi Ismail, 22, berkata, mereka juga menjamah ikan kembung dan cencaru mentah hingga termuntah selain minum air laut selama dua hari di atas bot sebelum di­selamatkan nelayan Aceh, Indonesia kelmarin.

Katanya, dua hari sebelum ditemui, dia dan rakan, Nor Hasrul Abdullah, 25, berlapar kerana terlalu memikirkan nasib hidup ketika berada di tengah laut.

“Kali terakhir kami makan bekal nasi ketika keluar memukat pada hari pertama bot rosak iaitu pukul 7.15 malam Isnin lalu.

“Keadaan memang getir sepanjang enam hari di laut. Kami berserah pada takdir dan berpuasa tiga hari selepas bekalan habis.

“Apabila tidak tahan lapar, kami makan ikan cencaru dan temenung mentah hingga termuntah kerana tidak pernah lakukannya. Kami makan hanya untuk bertahan,” kata­nya ketika ditemui di Jeti Limbongan Batu Maung, di sini hari ini.

Menurut Muhammad Ikmal, mereka terputus hubungan de­ngan keluarga selepas pukul 12 malam Selasa lalu.

Tambahnya, mereka cuba hidupkan enjin bot ketika ribut mengganas tetapi tali star­ter terputus hingga terpaksa ditarik secara manual, namun gagal.

“Air mula masuk bot ketika hujan lebat dan kami buang pukat untuk elak karam. Kami terse­rempak dengan banyak kargo dan cuba minta bantuan, namun ada pekerja acukan kayu kerana menyangka kami lanun,” katanya.

Ujar Muhammad Ikmal, sebelum itu, dia berenang dengan memakai jaket ke arah kapal dan cuba mendapatkan bantuan.

“Ketika itu kami fikir mati dan tiada harapan untuk hidup. Gambaran keluarga pun sudah tiada.

“Kami bertengkar dan bergaduh hingga tolak menolak sesama sendiri lalu jatuh ke laut dan naik semula. Keadaan itu paling mencabar. Akhirnya kami berdamai apabila memikirkan nasib yang dialami,” katanya.

Jelas Muhammad Ikmal lagi, penantian dan detik mencemaskan mereka berakhir pada hari keenam apabila terserempak dengan bot nelayan Aceh.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI