fbpx

20,000 pengunjung dijangka hadir Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Hisham (dua dari kiri) dan Dr Wan Muhamad (tiga dari kiri) bergambar bersama selepas sidang akhbar Pra Pelancaran Karnival Haji Ke-3, di Menara Kuala Lumpur hari ini. - Amir Khalid

KUALA LUMPUR – Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan kali ketiga yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula 3 Januari depan di Hotel Movenpick dan Pusat Konvensyen KLIA, Sepang menyasarkan kehadiran seramai 20,000 pengunjung.

Ketua Jabatan Haji, Lembaga Tabung Haji (TH), Mohd. Hisham Harun berkata, karnival anjuran TH bersama Persatuan Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra Malaysia) turut disertai 37 buah syarikat.

“Semua syarikat dilantik ini melepasi proses saringan dan pemilihan teliti untuk menjadi Pengelola Jemaah Haji (PJH) berdaftar di bawah TH, berbanding 25 syarikat pada musim haji lepas.

“Karnival ini menyediakan pilihan kepada bakal-bakal haji 1446H/2025 terpilih untuk menunaikan haji sama ada bersama muassasah atau menerusi pakej yang ditawarkan oleh PJH,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Pra Pelancaran Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Kali Ke-3, di Menara Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mohd Hisham (dua dari kiri) dan Wan Muhamad (tiga dari kiri) pada sidang akhbar.

Mohd Hisham memberitahu, acara utama karnival itu adalah tawaran pakej haji menarik pada harga kompetitif daripada 37 PJH terlibat termasuk pakej haji ekonomi bawah RM55,000 seorang.

Jelas beliau, karnival tersebut akan memudahkan bakal-bakal haji membuat pilihan pakej haji mengikut kemampuan dan cita rasa masing-masing selari dengan tema Pilih Keselesaan, Pilih Pakej Haji.

“Bakal haji yang berhasrat menunaikan haji melalui pakej haji boleh mendaftar secara dalam talian di reruai syarikat PJH pilihan semasa menghadiri karnival selepas melengkapkan proses menjawab tawaran tunai haji di THiJARI.

“Selain itu, bakal haji yang akan menunaikan haji dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang boleh mendapatkan maklumat pakej haji terkini daripada karnival ini sebagai persediaan.

“Bukan itu sahaja, mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan pakej umrah dan pelancongan daripada syarikat pelancongan yang berpengalaman luas dan terbukti kemampuan mereka di dalam bidang ini juga digalakkan hadir,” tambahnya.

Dalam pada itu, Mohd Hisham turut mengingatkan orang ramai yang ingin menunaikan fardu haji supaya memilih syarikat berdaftar di bawah TH bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku seperti kes penipuan.

“TH tidak menetapkan jumlah PJH yang dilesenkan pada setiap tahun. Senarai PJH yang menerima lesen ini boleh dirujuk di laman web rasmi TH di http://www.tabunghaji.gov.my,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Bumitra Malaysia, Dr Wan Muhamad Adam Wan Norudin, berkata, masyarakat kini lebih jelas tentang kepentingan untuk memilih pakej haji daripada syarikat yang dilesenkan TH menerusi dua siri Karnival PJH yang lalu.

Mohd Hisham (tengah) dan Wan Muhamad (tengah, kanan) bergambar bersama wakil 37 PJH

“Adalah berisiko bakal jemaah haji dan orang ramai memilih pakej daripada syarikat yang tidak dilesenkan melainkan 37 PJH ini. Mereka akan hadapi pelbagai masalah di Tanah Suci seperti tahun-tahun lalu.

“Kerjasama TH dan RHB Islamic Bank, membolehkan bakal-bakal haji tahun 2025 untuk membuat keputusan yang tepat bagi perjalanan ibadah mereka,” kongsinya.

Selain tawaran pakej umrah dan pelancongan yang ditawarkan oleh PJH, beberapa aktiviti menarik sepanjang karnival turut diadakan seperti simulasi haji cilik, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, persembahan kumpulan nasyid UNIC dan Hijjaz serta artis, Datuk Hattan.

Memenuhi tarikan Karnival PJH 2025 itu, juga disediakan sesi cabutan bertuah dan program Bicara Haramain (talkshow) yang akan membincangkan persediaan bakal haji dari segi ibadat dan kesihatan serta podcast ‘Pilih keselesaan, pilih pakej haji’ yang akan disiarkan secara langsung pada 4 Januari 2025 (Sabtu) di Pentas Utama Anjung, siaran langsung Facebook TH dan Bumitra. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI