KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) tidak membenarkan mana-mana agensi mengiklan atau mempromosikan pakej haji menggunakan visa mujamalah atau furada.
Ketua Jabatan Haji TH, Mohd Hisham Harun berkata, larangan berkenaan turut meliputi syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) kerana tiada ketentuan untuk mereka mendapatkan visa berkenaan.
Beliau berkata, tindakan akan diambil jika terdapat aduan tentang perkara berkaitan dan pelaku bakal berdepan tindakan denda atau dipenjarakan.
“Cuma yang disahkan (visa yang diberikan) Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kepada Malaysia adalah berjumlah 31,600, itu yang pasti.
“Tetapi visa mujamalah dan furada tiada kepastian berapa jumlah yang akan diberikan dan siapa akan dapat (visa). Jadi apabila perkara ini tiada ketentuan, lebih baik PJH (juga) tidak mengiklankan visa berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pra Pelancaran Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Kali Ke-3, di Menara Kuala Lumpur, hari ini.
Mohd Hisham menjelaskan, visa mujamalah atau furada diberikan Kerajaan Arab Saudi kepada individu atau organisasi tertentu yang kebiasaannya dikeluarkan pada saat akhir iaitu pada penghujung Syawal atau Zulkaedah.
Beliau menegaskan, antara sebab agensi serta PJH tidak dibenarkan untuk melakukan promosi adalah bagi mengelak masyarakat terpedaya dan tertipu.
“Bakal jemaah haji yang ingin menunaikan haji melalui visa mujamalah digalakkan mendaftar melalui PJH dilesenkan TH kerana ini saluran terbaik supaya kebajikan jemaah dapat dipantau semasa di Tanah Suci nanti.
“(Namun) PJH jangan buat promosi visa ini kerana ia selalu disalah guna, tiada kouta menyebabkan jemaah terkandas di lapangan terbang atau luar Malaysia sehingga menyusahkan orang ramai dan kita harap apabila bakal jemaah guna PJH, mereka tidak akan tertipu.
“Banyak syarikat (buat) promosi pakej tersebut. Sebenarnya ia menyalahi akta TH kerana tidak dilesenkan, kemungkinan besar orang ramai jadi mangsa penipuan. Orang ramai boleh buat aduan jika ada dikesan promosi berkenaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE