SEBERANG PERAI – Seramai 16 lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth, di sini hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Pacific Siva sejak lapan tahun lalu.
Tertuduh ialah M. Subramaniam, 44, G. Tilagarajan, 36, M. Kesavan, 39, N. Sharvin, 26, T.S Ligen Kumar, 26, M. Dineswaren, 24, P. Kirubaagaran, 23, G. Meheshkumara, 27, M. Janagesh, 28, R. Logeswaaraaj, 30, K. Hendry,44, M. Sivasangkaran, 37, M. Partiben, 29, S. Arunan, 32, S. Denneswaran, 28 dan V. Alagis, 31.
Bagaimanapun, kesemua mereka hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.
Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh kerana kes mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, 14 daripada tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada Jun 2016 hingga 26 November lalu, manakala Subramaniam dan Arunan didakwa terlibat pada Februari 2019 hingga 26 November lepas.
Mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima hingga 20 tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan dan Lina Hanini Ismail, manakala 13 tertuduh diwakili peguam masing-masing. Mahkamah menetapkan 7 Februari 2025 untuk melengkapkan dokumen bagi pemindahan kes ke Mahkamah Tinggi. – KOSMO! ONLINE