fbpx

‘Mana saya nak cari wang beli ubat?’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zuriah (kanan) ketika ditemui di rumahnya di Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut baru-baru ini.

JERANTUT – Seorang suri rumah di Felda Kota Gelanggi Dua di sini, menaruh harapan tinggi untuk sembuh meskipun menderita penyakit kanser payudara tahap empat.

Zuriah Mohd. Noor, 57, berkata, dia melakukan pelbagai ikhtiar dan sudah membelanjakan hampir RM60,000 bagi kos rawatan termasuk membeli ubat dan berulang-alik ke hospital sejak awal tahun lalu.

Katanya, keadaan kesihatannya sedikit merosot selepas menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur berikutan sudah memasuki tahap empat pada Februari lalu.

“Doktor beritahu sel kanser sudah merebak ke tulang belakang dan tulang rusuk yang memerlukan rawatan susulan dan ubat.

“Ada dua jenis ubat, salah satunya berharga RM250 untuk sebulan, manakala satu lagi berharga RM3,000. Terus-terang saya tidak mampu membeli ubat-ubatan tersebut.

“Doktor juga mengesyorkan saya berulang-alik menjalani rawatan dan kemoterapi di hospital,” katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Sebelum ini, wanita itu meng­uruskan penyakit kanser termasuk membeli ubat-ubatan menggunakan wang simpanan sendiri selain pendapatan suaminya, Mohd. Azli Sulaima, 58, sebagai pekebun sawit.

Menurut Zuriah, ketika ini dia mengisi masa terluang dengan mendekatkan diri kepada Pencipta dan berkongsi masalah dengan rakan senasib di Felda sama sebagai motivasi untuk terus kuat menghadapi hari-hari mendatang.

“Masuk tahap empat (kanser) badan saya jadi lesu, tiada selera makan, kerap terjatuh, mudah terlupa selain tidak boleh berjalan,” katanya.

Zuriah berkata, sebelum ini dia menerima bantuan susu khas dan lampin pakai buang selama enam bulan sekali daripada ­Majlis Kanser Kebangsaan yang diuruskan pihak hospital selain bantuan RM300 secara bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Zuriah di talian 011-24630292 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Rakyat wanita itu bernombor 220301388881.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI