WASHINGTON – Mogok lima hari oleh pekerja Starbucks merebak ke sembilan negeri di Amerika Syarikat (AS) setakat semalam, demikian menurut kesatuan sekerja rangkaian kafe kopi premium tersebut seperti laporan saluran berita CNN.
Kesatuan Sekerja Starbucks berkata, pekerja di negeri Missouri, New Jersey dan New York melancarkan mogok semalam selepas tindakan serupa berlaku di beberapa lokasi di Colorado, Ohio dan Pennsylvania kelmarin.
Kesatuan itu mewakili lebih 10,000 pekerja di lebih 525 kedai Starbucks di seluruh AS.
Seorang jurucakapnya memberitahu CNN bahawa 30 kedai Starbucks di seluruh negara ditutup sepenuhnya tetapi masih terlalu awal untuk mengetahui jumlah keseluruhan penutupan premis itu untuk semalam.
Tambahnya, piket tersebut diramal mencecah beratus-ratus kedai menjelang esok. Ia bagaimanapun melibatkan sebahagian kecil daripada lebih 10,000 kedai kendalian syarikat Starbucks dengan lebih 200,000 pekerja.
Mogok itu memasuki hari ketiga selepas piket bermula pada Jumaat lepas di Chicago, Illinois, Los Angeles, California dan Seattle yang menempatkan ibu pejabat Starbucks.
Menurut Kesatuan Sekerja Starbucks, mereka menuntut kenaikan gaji untuk barista dalam cadangan ekonomi menjelang tarikh akhir rangka kerja tahun 2024.
Kesatuan itu berkata, ia mempunyai rangka kerja dengan pengurusan Starbucks sejak Februari lalu untuk mencapai perjanjian buruh pertama dan menyelesaikan aduan undang-undang yang tertangguh.
“Pada bulan ini, Starbucks mencadangkan tiada kenaikan gaji segera baharu dan jaminan hanya 1.5 peratus bagi tahun-tahun akan datang, bersamaan kurang AS$0.50 (RM2.20) sejam untuk kebanyakan pekerja,” kata kesatuan sama.
Starbucks bagaimanapun berkata semalam bahawa pihaknya menawarkan pakej faedah tidak seperti mana-mana syarikat peruncit lain.
Ujarnya, purata gaji ditawarkan syarikat adalah melebihi AS$18 (RM81) sejam, dan apabila digabungkan dengan pakej faedahnya, ia berjumlah AS$30 (RM134) sejam untuk barista yang bekerja sekurang-kurangnya 20 jam seminggu. – AGENSI