LONDON – Red Bull Racing tidak mahu terus bergantung harap kepada juara dunia empat kali Formula Satu (F1), Max Verstappen yang dilihat menjadi tulang belakang kepada kejayaan pasukan itu sejak beberapa musim terakhir.
Verstappen yang masih terikat kontrak dengan Red Bull hingga akhir 2028, telah beberapa kali memberi isyarat kemungkinan bersara lebih awal membuatkan pasukan Austria tersebut mula bersiap sedia untuk era baharu tanpa pelumba Belanda itu.
Penasihat Red Bull, Helmut Marko juga dilihat mula memberi tumpuan kepada bakat muda dan menjadikan bintang British-Sweden, Arvid Lindblad sebagai prospek utama mereka.
“Kami menikmati bekerja dengan Max (Verstappen) tetapi dia tidak akan memandu selamanya. Kami perlu bersedia untuk masa depan. Kami tidak mencari ‘Max baharu’, tetapi juara baharu.”
Lindblad, 17, menarik perhatian Red Bull dengan kepantasan semula jadinya apabila hampir memenangi gelaran Formula 4 Itali dan mencipta kemenangan bersejarah di Grand Prix Macau.
Selain itu, Lindblad turut menonjol dalam aksi Formula 3 musim ini dengan empat kemenangan sebelum menamatkan musim di tempat keempat.
Musim depan Lindblad akan dinaikkan taraf ke Formula 2 bersama pasukan Campos dan Marko yakin bakat muda tersebut mampu menjadi bintang utama Formula 1 pada masa depan.
“Arvid (Lindblad) menunjukkan sesuatu yang luar biasa. Kehebatannya bukan sahaja dalam kelajuan, tetapi juga keupayaan belajar dan berkembang.
“Dalam ujian Formula 2 di Abu Dhabi, dia memperbaiki catatan masanya setiap hari sehingga menewaskan rakan sepasukan yang lebih berpengalaman,” ujar Marko.
Sebagai rekod, Red Bull terkenal dengan kejayaan membangunkan pelumba terbaik seperti Sebastian Vettel, Daniel Ricciardo, dan Carlos Sainz. – AGENSI