MADRID – Bintang sensasi Real Madrid, Kylian Mbappe mengakui terpaksa bangkit daripada titik terbawah untuk membantu pasukan menang 4-2 ke atas Sevilla pada aksi La Liga di Stadium Santiago Bernabeu awal pagi semalam.
Ia sekali gus melonjakkan Real ke tangga kedua dengan 40 mata, kurang satu mata sahaja lagi untuk menyamai seteru setempat, Atletico Madrid yang merampas puncak liga hasil kemenangan 2-1 ke atas Barcelona kelmarin.
Biarpun dikritik hebat kerana mensia-siakan banyak peluang tetapi Mbappe, 26, masih berupaya meledak gol ke-14 daripada 24 perlawanan dalam semua kejohanan termasuk 10 jaringan aksi La Liga.
“Kami semakin mengenali antara satu sama lain tetapi saya akui kehadiran saya mengubah banyak perkara. Seperti jurulatih katakan, sekarang bukan lagi masa untuk menyesuaikan diri.
“Anda boleh melihat di atas padang bahawa saya semakin serasi dengan rakan sepasukan. Anda juga boleh lihat permainan kami semakin bagus dalam setiap perlawanan.
“Saya tahu banyak lagi yang saya boleh keluarkan dan tunjukkan kepada aksi semua tetapi sekarang ini saya dapat merasakan kondisi badan berada pada tahap baik,” kata Mbappe.
Mbappe yang sebelum ini mengalami kecederaan paha, turut meledak satu gol ketika menewaskan gergasi Mexico, Pachuca CF 3-0 pada final Piala Intercontinental minggu lepas.
Selain satu gol daripada Mbappe, tiga lagi jaringan Real ke atas Sevilla awal pagi semalam diperoleh menerusi Federico Valverde, Rodrygo dan Brahim Diaz. – AGENSI