fbpx

Aduan minyak masak paling tinggi tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Nizam (kanan) meninjau pasar raya sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024 di Mydin Taman Saga Alor Setar, hari ini.

ALOR SETAR – Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menerima 1,693 aduan pengguna termasuk yang tertinggi berkaitan minyak masak iaitu 137 kes sepanjang tahun ini.

Pengarahnya, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, daripada aduan tersebut lapan tindakan kes berkaitan minyak masak diambil melibatkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Kebanyakannya aduan melibatkan kes minyak masak yang disorok. Kita akan sentiasa membuat terjahan di premis untuk memastikan minyak masak sentiasa ada untuk pengguna.

“Selain itu KPDN Kedah turut menerima 228 aduan berkenaan barang kawalan lain di mana enam kes diambil tindakan bagi kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya kepada pemberita selepas program pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024 di pasaraya Mydin di sini hari ini.

Beliau turut menasihatkan peniaga agar mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelak tindakan dikenakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Selain minyak kita juga pantau di sempadan bagi membanteras aktiviti penyeludupan diesel dan sebagainya. Cuma diesel sekarang berkurangan jadi kita tumpukan kepada aduan pengguna,” katanya.-KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI