SHAH ALAM – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menunggu laporan terperinci berhubung insiden renjatan elektrik yang meragut nyawa seorang murid sebuah sekolah agama di Serdang, minggu lalu.
Timbalan Menterinya, Dr. Zulkifli Hasan berkata, pihaknya belum menerima laporan itu daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) setakat ini.
Jelas beliau, penyediaan laporan itu diperlukan pihaknya bagi memastikan aspek keselamatan sekolah terlibat dan mengelak kejadian sama berulang.
“Tindakan lanjut yang sewajarnya telah diambil berkaitan kejadian itu termasuk daripada pihak polis.
“Saya difahamkan sekolah itu masih ditutup dan kita menunggu laporan penuh daripada JAIS,” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) Pengajaran Madani di Universiti Selangor (Unisel) di sini hari ini.
Pada 19 Disember lalu, seorang murid lelaki tahun enam maut dipercayai akibat renjatan elektrik di sekolah itu, kira-kira pukul 6.30 petang, Rabu lalu. – KOSMO! ONLINE