KUALA LUMPUR – Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menentukan pelantikan jurulatih baharu selepas pengunduran Tan Bin Shen daripada skuad kebangsaan.
Bin Shen yang telah bersama BAM sejak 2020, dilaporkan bakal menyertai skuad badminton Hong Kong di bawah pimpinan bekas jurulatih Malaysia, Wong Choong Hann dan akan mulakan tugas pada Februari depan.
Tegas Aaron, keputusan pelantikan jurulatih baharu bukan ditangannya kerana dia hanya boleh mencadangkan calon jurulaith dan keputusan akhir akan dibuat oleh BAM sendiri.
“Saya rasa tak banyak nak ulas mengenainya (Bin Shen) sebab jurulatih yang bawa kita pun memang datang dan pergi. Jadi, kita kena perlu terima dan hormati keputusan dia. Saya rasa itu dia punya sasaran.
“Kita dapat tahu keputusan (letak jawatan) juga pada saat akhir selepas berakhir Kejohanan Badminton Dunia Akhir (WTF), Hangzhou, China, jadi tak ada masa nak bincang sebab kita fokus kepada perlawanan.
“Mengenai calon jurulatih, kita memang ada buat perbincangan dan cadangan tetapi keputusan akhir dibuat oleh BAM. Jadi, hanya BAM boleh menjawab soalan ini dan keputusan datang daripada mereka,” katanya ketika ditemui selepas majlis lanjutan penajaan antara BAM dan minuman isotonik terkemuka 100PLUS, di Bukit Kiara hari ini.
Dalam pada itu, Aaron turut menegaskan pelantikan ketua jurulatih baharu tersebut bukan khusus buat mereka berdua tetapi perlu memberi fokus kepada keseluruhan pasukan.
“Jurulatih baharu tersebut bukan hanya untuk kami berdua, tetapi untuk membangunkan semua pasangan beregu lelaki yang lain,” tambahnya.
Jumaat lepas, BAM telah mengumumkan bahawa Bin Shen akan meletakkan jawatan 13 Januari ini dan jurulatih berusia 40 tahun akan meninggalkan badan induk tersebut selepas Terbuka Malaysia.
Bekas pemain kebangsaan itu memainkan peranan penting dalam meningkatkan standard beberapa pasangan beregu lelaki negara, termasuk membantu Aaron-Wooi Yik merangkul gelaran dunia pertama Malaysia pada 2022. -KOSMO! ONLINE