LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou enggan terlalu meratapi kekalahan besar 3-6 kepada Liverpool pada aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi semalam.
Sebaliknya pengurus itu lebih selesa untuk mengambil perkara positif yang disifatkan mampu mematangkan pemainnya untuk jadi lebih baik pada masa akan datang.
“Ia adalah hari yang sukar dan menyakitkan buat kami. Kredit kepada Liverpool kerana mereka adalah pasukan yang begitu bagus.
“Mereka mempunyai jurang besar dengan kami di mana kami seakan kehilangan tenaga dan kemampuan untuk menyaingi tahap permainan mereka,” katanya.
Mohamed Salah dan Luis Diaz masing-masing menyumbangkan dua gol diikuti satu jaringan daripada Alexis Mac Allister dan Dominik Szoboszlai.
Perkara positif yang dipamerkan Spurs adalah sikap mereka untuk terus mencuba yang menyaksikan mereka memperoleh tiga gol daripada James Maddison, Dejan Kulusevski dan Dominic Solanke.
“Saya tidak tahu berapa jauh jurang kami dengan Liverpool, tetapi kami masih lagi sedang berkembang. Adalah sukar untuk saya mengatakan kedudukan kami kerana pasukan berdepan cabaran, namun saya tetap bangga dengan persembahan pemain,” jelasnya. – AGENSI