KEJAYAAN layak ke separuh akhir Piala Cabaran ‘membebaskan’ minda pemain Selangor FC yang sebelum ini dihimpit tekanan untuk memenuhi jangkaan peminat.
Pengendalinya, Katsuhito Kinoshi menganggap kejayaan ini menjadi penutup terbaik buat Gergasi Merah bagi tahun 2024 dan pemain kini semakin tenang sebelum memikirkan perancangan seterusnya.
“Terima kasih banyak atas sokongan semua. Tahun depan akan menjadi episod baharu, teruskan menyokong dan berjuang bersama kami. Ini adalah mesej saya kepada penyokong dan juga peminat Selangor.
“Untuk layak dengan keputusan sebegini adalah penting untuk kami dan sudah pasti kami gembira dengan kejayaan ini,” katanya.
Pada aksi suku suku akhir kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, kelmarin, Selangor FC menang 3-0 ke atas Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) sekaligus menang mudah 8-1 secara agregat.
Kinoshi juga puas hati untuk melihat komitmen pemain termasuk bintang bawah 23 tahun yang diberikan minit permainan.
“Sejak saya datang ke sini, hari ini (kelmarin) saya berjaya menggunakan setiap pemain dalam skuad walaupun pemain B-23. Jadi ini adalah sesuatu yang baik untuk masa depan pasukan.
“Bagi saya, ini adalah perkara yang paling penting. Sudah tentu, kita perlu layak dan keputusan seperti ini dapat memberi motivasi kepada pemain,” katanya.