fbpx

Cuti hujung tahun: JSPT laksana Op Lancar sehingga 2 Januari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Yusri

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman melaksanakan Op Lancar bermula hari ini hingga 2 Januari sempena musim cuti hujung tahun.

Pengarahnya, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, ia bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan mengurangkan kesesakan lalu lintas sepanjang cuti perayaan Krismas dan sambutan tahun baharu.

Katanya, operasi itu memberi tumpuan kepada penyuraian trafik di lebuh raya utama seperti Lebuh Raya Utara-Selatan, Lebuhraya Pantai Timur (LPT), konsesi lebuh raya lain, jalan persekutuan, dan jalan negeri.

“Kita mengambil maklum peningkatan aliran kenderaan di lebuh raya utama dan menjangkakan sebanyak 2.12 juta kenderaan sehari akan menggunakan lebuh raya berdasarkan rujukan PLUS Malaysia Berhad, Selasa lalu.

“Ia termasuk mengambil kira pemberian tol percuma kepada semua kenderaan ringan yang dilaksanakan bermula hari ini hingga esok, selain kesempatan cuti sekolah hingga penghujung tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Mohd. Yusri, pengguna jalan raya dinasihatkan agar mematuhi peraturan lalu lintas sepanjang tempoh operasi tersebut.

“Pengguna perlu mematuhi had kelajuan yang ditetapkan, mengelakkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah, dan sentiasa mematuhi lampu isyarat merah,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan dengan teliti, peka terhadap keadaan cuaca dan aliran trafik selain memastikan kenderaan dalam keadaan selamat dan diselenggara dengan baik.

“Majikan dan pemandu kenderaan perdagangan digalakkan menggunakan jalan persekutuan dan jalan negeri bagi membantu mengurangkan kesesakan di lebuh raya utama,” katanya.

Menurut Mohd. Yusri, JSPT amat menghargai kerjasama pengguna jalan raya bagi memastikan keselamatan di jalan raya serta menjadi teladan kepada orang lain.

Sebarang maklumat mengenai insiden atau kesesakan lalu lintas boleh disalurkan melalui bilik gerakan trafik di peringkat daerah dan kontinjen. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI