PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengucapkan tahniah dan teruja kepada pesilat berbangsa India pertama negara yang menjadi juara dunia kelas Bebas Putera, Thamaraj Vasudevan di Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-20 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Melalui satu hantaran di media sosial beliau, Ahmad Zahid menjelaskan, dalam pertarungan akhir kategori bebas putera, Thamaraj telah mempersembahkan aksi hebat dengan menewaskan wakil Uzbekistan, Khudoyberdiev Diyorbek sekali gus membawa pulang pingat emas yang amat bermakna untuk negara.
“Saya amat teruja melihat kemenangan Thamaraj A/L Vasudevan, pesilat dari Malaysia yang telah mencipta sejarah dengan menjuarai Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-20 kategori bebas putera di Abu Dhabi, UAE.
“Selain kemenangan Thamaraj, pasukan silat negara yang lain juga turut mencatatkan pencapaian yang membanggakan di mana pasukan senior berjaya meraih enam pingat emas, sembilan perak dan empat gangsa, manakala pasukan remaja turut cemerlang dengan membawa pulang lima emas, empat perak dan empat gangsa,” tulisnya.
Tambahnya, antara wira dan wirawati pesilat dewasa & pesilat remaja yang menyumbang emas termasuk Farah Mazlan, Siti Shazwana, Abdul Latif, Tamarah, Ainatsya, Eafzayl Adriell, Raqib Darwisy, Muhammad Syaqil dan Ukail Darwis.
“Tahniah, tahniah!” ucap Ahmad Zahid.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Megat Zulkarnain Omardin, Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) yang bersama memberikan sokongan moral dan semangat kepada pasukan silat negara.
“Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh pasukan silat negara atas dedikasi dan pencapaian hebat ini. Semoga kejayaan ini menjadi permulaan kepada lebih banyak kemenangan yang mengharumkan nama Malaysia di masa akan datang, insya-Allah,” katanya. – KOSMO! ONLINE.