fbpx

Kerani bank berhutang kad kredit RM115,950 ditipu scammer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA TERENGGGANU – Gara-gara terlalu takut digertak sindiket penipuan kononnya terlibat dalam kes menipu tuntutan insurans, seorang kerani bank berputih mata kerugian RM115,950 baru-baru ini.

Wanita berusia 41 tahun yang menyedari menjadi mangsa penipuan tersebut telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 5.38 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, mangsa telah dihubungi suspek yang mendakwa kononnya wakil sebuah syarikat insurans di Kuala Lumpur sewaktu sedang bekerja di sebuah bank di bandar raya ini pada pukul 11 pagi, 8 September lalu.

“Mangsa terkejut apabila dimaklumkan suspek kononnya telah membuat tiga tuntutan insurans sedangkan tidak pernah memiliki polisi berkenaan.

“Panggilan dia kemudiannya disambung kepada beberapa individu lain kononnya pegawai polis Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang dan pendakwa raya,” katanya di sini hari ini.

Azli berkata, suspek kemudiannya mengarahkan mangsa membuka akaun bank baharu kononnya bagi membolehkan siasatan dilakukan.

Tambah beliau, mangsa yang terpengaruh sanggup mengeluarkan wang simpanannya selain berhutang kad kredit telah membuat pembayaran keseluruhan RM115,950 diarahkan suspek.

“Pembayaran itu dilakukan dalam enam transaksi ke dalam tiga akaun bank berasingan antara 19 September hingga 30 November lalu.

“Mangsa akhirnya menyedari tertipu. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI