PARIT – “Dia nampak penat ketika lawan arus dan sempat minta tolong sebelum tenggelam dan tidak kelihatan lagi,” ujar Kijai, 39.
Lelaki yang mahu dikenali sebagai Kijai itu merupakan rakan kepada Koperal Muhammad Taufik Sayutin, 39, yang ditemukan mati lemas ketika mandi di kawasan tali air dekat pintu gerbang Changkat Lada, Kampung Gajah di sini semalam.
Menurut Kijai, ketika kejadian, dia bersama Muhammad Taufik serta lapan rakan lain ke kawasan tali air itu untuk mandi selepas selesai perlawanan bola sepak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changkat Lada.
Katanya, ketika di lokasi sekitar pukul 2 petang, mangsa telah terjun ke dalam tali air sebelum cuba berenang ke tebing dengan melawan arus namun lelaki itu dilihat seolah-olah penat.
“Daripada enam orang yang terjun, Taufik yang terakhir. Ketika dia cuba menghampiri tebing saya pula mahu ke atas. Dia kelihatan penat dan sempat cakap ‘tolong aku’ sebelum tenggelam.
“Saya dan rakan-rakan lain terjun semula ke dalam tali air untuk menyelamatkannya. Saya sendiri cuba menggapai tangan Taufik namun tidak berjaya,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian Allahyarham Muhammad Taufik di Tanah Perkuburan Islam Felcra Changkat Lada, Kampung Gajah di sini hari ini.
Menurut pesara tentera itu, Muhammad Taufik yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Melaka itu dilihat teruja untuk mandi di tali air dan beberapa kali mengulangi hasrat tersebut termasuk pada malam sebelum kejadian itu.
“Sebelum dia balik kampung lagi dia dah cakap nak mandi ban, malah ketika serahkan baju untuk perlawanan bola sepak pun dia masih ulang hasrat yang sama.
“Lepas main bola pun dia cakap benda yang sama sampai dia beritahu kalau kami tidak ikut pun tak mengapa, dia mahu mandi bersama dua anaknya,” katanya. – KOSMO! ONLINE