fbpx

PTPTN lancar Kempen LESTARIPendidikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norliza

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan kempen LESTARIPendidikan sebagai inisiatif strategik untuk memastikan pendidikan tinggi kekal inklusif, mampan dan relevan bagi generasi akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, kempen itu bertujuan memperkukuhkan mesej penting tentang tanggungjawab sosial dan kewangan peminjam dalam menjamin kelestarian dana pendidikan negara.

Justeru, kata beliau, melalui LESTARIPendidikan, PTPTN bukan sahaja memenuhi tanggungjawab sosial, tetapi juga memainkan peranan penting dalam membentuk modal insan negara.

“Pendidikan tinggi adalah pemangkin pembangunan masyarakat yang progresif dan kelestarian dana pendidikan adalah kunci kepada kejayaan ini.

“Mesej utama kempen ini adalah untuk memperkasakan rakyat melalui pendidikan tinggi di samping membantu peminjam menyelesaikan tanggungjawab membayar hutang PTPTN dengan lebih berkesan,” katanya pada Majlis Peluncuran Kempen LESTARIPendidikan di Menara PTPTN di sini hari ini.

Norliza berkata, Kempen LESTARIPendidikan merangkumi inisiatif yang dirangka untuk meringankan beban peminjam iaitu #PTPTNBolehBincang.

Menurut beliau, peminjam boleh berbincang atau berunding untuk pelan pembayaran fleksibel iaitu penstrukturan semula bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan kewangan mereka.

Tambah beliau, PTPTN turut melaksanakan pendekatan proaktif iaitu inisiatif #PTPTNSediaBantu bagi memudahkan peminjam berurusan dengan menyediakan pelbagai saluran bayaran balik yang lebih mudah, cepat dan selamat.

Terdahulu, beliau memaklumkan, tunggakan pinjaman PTPTN sehingga September 2024 berjumlah RM11.32 bilion melibatkan lebih 1.25 juta peminjam culas.

Kata beliau, PTPTN telah mengambil pelbagai langkah termasuk penghantaran surat peringatan dan notis tuntutan rasmi kepada peminjam terbabit untuk mendapatkan bayaran tunggakan tersebut.

Beliau berkata, PTPTN malah memperkenalkan pelbagai mekanisme seperti kadar ujrah yang rendah, mula bayar balik selepas 12 bulan tamat tempoh pinjaman (tempoh bertenang) serta penstrukturan semula bayaran balik pinjaman kepada peminjamnya

Jelas beliau, setiap pembayaran balik pinjaman PTPTN adalah pelaburan kepada masa depan pendidikan generasi akan datang.

“Dengan dana yang diterima melalui bayaran balik, PTPTN dapat terus menyokong 450,000 peminjam sedia ada dan 150,000 peminjam baharu setiap tahun terutama dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah.

“Ini melibatkan jumlah yang besar iaitu lebih RM3 bilion setahun,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI