fbpx

Musa akan terus bersuara isu nasional – Peguam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Musa Hassan

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bertekad akan terus memberikan pendapatnya dalam apa jua isu nasional.

Musa berkata, beliau akan terus meluahkan pandangan atas kapasitinya sebagai bekas Ketua Polis Negara sejajar dengan kesucian Perlembagaan Persekutuan.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Tetuan Azam Aziz & Co yang mewakilinya dalam kes saman Hannah Yeoh hari ini, Musa bersyukur terhadap keputusan yang tidak memihak kepada Hannah Yeoh dalam saman yang dikemukakan Ahli Parlimen Segambut itu.

“Tan Sri Musa Hassan mengucapkan syukur keputusan mahkamah pada hari ini dan mengucap terima kasih kepada semua yang mendoakan kesejahteraan beliau. Beliau akan terus bercakap atas kapasiti sebagai Mantan Ketua Polis Negara tentang apa jua isu yang berkepentingan nasional dan akan mempertahankan negara daripada sebarang ancaman dalaman dan luaran sejajar dengan kesucian dan ketertinggian Perlembagaan Persekutuan,” kata kenyataan peguam itu.

Terdahulu Mahkamah Tinggi di sini menolak saman Hannah Yeoh terhadap Musa berhubung dakwaan kenyataan fitnah pada forum di sebuah univerisiti empat tahun lalu.

Hakim Arziah Mohamed Apandi memutuskan demikian selepas mendapati Hannah selaku plaintif gagal membuktikan Musa sebagai defendan mempunyai niat jahat dan kenyataan yang dikeluarkannya itu berunsur fitnah.

Justeru dengan keputusan itu mahkamah memerintahkan Hannah membayar kos sebanyak RM40,000 kepada Musa.

Pada masa sama, peguam Lim Wei Jiet yang mewakili Hannah ketika dihubungi media berkata pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi hari ini.

Sebelum ini, Musa pula dalam keterangan pada perbicaraan itu berkata, gerakan Evangelisme mampu memberikan kesan kepada keselamatan negara berdasarkan penelitiannya terhadap buku tulisan Hannah, video dan pendedahan beberapa pakar akademik.

Katanya, rujukan lain turut dilakukan terhadap beberapa video yang dimuatnaik di laman media berkaitan gerakan Evangelisme selain laporan polis yang dibuat beberapa individu.

Ujarnya beliau bertanggungjawab menasihatkan orang awam terhadap bahaya gerakan-gerakan tersebut selain berkongsi kebimbangan jika tidak dibendung, ia boleh mengancam keselamatan negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI