KUALA LUMPUR: Syarikat pengendali umrah dan haji, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) menawarkan empat pakej haji 1446H/2025M yang boleh ditempah bermula hari ini dengan harga serendah RM43,990.
Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md. Daud Che’ Ngah berkata, pihaknya berbesar hati di atas kepercayaan yang diberikan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) dengan pemberian lesen untuk mengendalikan jemaah haji bagi tahun ke-17.
“Istimewanya, pada kali ini kami menawarkan empat pakej haji berbanding tahun lepas hanya tiga pakej sahaja
“Empat pakej tersebut ialah Marsa, Malak, Olayan dan Safwah dengan harga bermula RM43,990 hingga 102,990.
“Bakal jemaah haji sudah boleh membuat tempahan bermula hari ini dan mereka yang terawal berpeluang menerima diskaun lumayan untuk setiap seorang iaitu RM15,000 bagi pakej Marsa dan Malak manakala RM2,000 (Olayan) dan RM3,000 (Safwah),” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pakej Haji 1446H di Ibu Pejabat Andalusia, Kampung Pandan, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin dan Ketua Pegawai Perniagaan Andalusia Izzati Ibrahim.
Jelas beliau, keseluruhan pakej itu boleh menampung lebih 1,000 orang jemaah tetapi ia bergantung kepada kelulusan kuota haji oleh TH yang akan dimaklumkan kelak.
Katanya, pada musim haji lalu Andalusia telah menguruskan seramai 701 jemaah haji.
Mengulas lanjut, beliau berkata harga yang ditawarkan untuk setiap pakej itu bergantung kepada jenis bilik dan jarak hotel ke Masjidil Haram.
“Bagi pakej Marsa menawarkan tiga jenis bilik dengan jarak 310 meter (m) ke Masjidil Haram manakala Malak juga menyediakan tiga jenis bilik dan 470m ke Masjidil Haram.
“Untuk pakej Olayan terletak 220m dari Masjidil Haram dengan empat jenis bilik dan Safwah pula terletak 50m dari Masjidil Haram dengan empat jenis bilik,” ujarnya.
Tambah beliau, pakej-pakej tersebut menyediakan perkhidmatan lengkap kepada para jemaah seperti pembimbing dan petugas bertauliah serta berpengalaman, sajian makanan, kursus bimbingan haji dan perlindungan takaful.
“Selain itu, kami juga menyediakan persiapan lengkap ketika di Arafah dan Mina seperti pengangkutan, khemah dan makanan.
“Kami juga menyediakan barangan cenderahati seperti beg bagasi besar, beg galas troli, beg sandang, sejadah, telekung dan ihram,” katanya.- KOSMO! ONLINE