TAIPING – Polis menafikan dakwaan satu video tular yang menyatakan seorang lelaki warga asing yang memakai gelang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berwarna pink berkeliaran di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Gantang di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisoner Osman Mamat berkata, berikutan penularan video tersebut, ia telah mendatangkan kegusaran dan kebimbangan dalam kalangan orang ramai sedangkan perkara itu adalah tidak benar.
“Lelaki yang digambarkan sebagai warga asing di dalam video yang tular itu sebenarnya adalah warga tempatan berusia 53 tahun,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Osman berkata, pihaknya menerima panggilan dari peronda lebuh raya pada pukul 10.50 pagi yang menyatakan seorang lelaki kurang siuman berkeliaran di tempat awam di R&R Bukit Gantang.
“Bertindak atas maklumat tersebut, dua anggota polis dari Balai Changkat Jering terus ke lokasi kejadian.
“Hasil siasatan mendapati lelaki warga tempatan yang berasal dari Padang Rengas itu telah menumpang sebuah lori untuk ke Alor Setar kerana ingin mencari kerja,” katanya.
Tambahnya, tiba di R&R Bukit Gantang, lelaki itu telah turun dari lori dan merayau-rayau di lokasi menyebabkan pekerja kedai makan di hentian itu menghubungi Polis Bantuan PLUS untuk meminta bantuan.
“Malangnya, semasa lelaki itu sedang disoal siasat oleh pihak polis di kawasan itu bagi mendapatkan butiran terperinci, seorang pengguna lebuh raya yang kebetulan berada di kawasan hentian itu telah merakam video dengan persepsi sendiri lalu menularkannya ke platform media sosial.
“Akibat penularan video palsu itu, wujud rasa cemas dan bimbang dalam kalangan orang ramai yang menontonnya sehingga menimbulkan kegusaran dan kebimbangan terutamanya kepada penduduk setempat,” katanya.
Beliau memberi peringatan dan menasihatkan orang ramai agar tidak terburu-buru merakam sesuatu video kejadian yang tidak dapat dipastikan kedudukan cerita sebenar dan menularkannya dengan berita yang tidak pasti yang boleh mengugat keharmonian, kedamaian dan mencetuskan kebimbangan kepada awam.
“Sebarang perkongsian berita yang bersifat palsu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum denda sehingga RM50,000 atau hukuman penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – K! ONLINE