LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak menahan tiga bot nelayan dari Indonesia selepas dikesan menceroboh perairan negara semalam.
Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Mohamad Shukri Khotob memberitahu, ketiga-tiga kapal tersebut dikesan oleh pasukan operasi Kapal Maritim Malawali di sekitar 44.4 kilometer barat laut Pulau Pangkor petang semalam.
Jelasnya, hasil pemeriksaan awal ke atas ketiga-tiga bot itu mendapati tiada nombor pendaftaran dan disyaki menangkap ikan di dalam perairan Malaysia, sejak kelmarin.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua 12 warga Indonesia yang berasal dari Pantai Labu itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri,” ujarnya di sini hari ini.
Menurutnya, setiap bot itu dikendalikan oleh seorang tekong bersama tiga orang
kru berumur dalam lingkungan 24 hingga 55 tahun.
Tegasnya, kes itu disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana disyaki menangkap ikan di dalam perairan Malaysia tanpa permit yang sah dan Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa memiliki sesuatu pas yang sah.
Menurut beliau, kesemua nelayan ditahan manakala botdan hasil tangkapan beserta peralatan menangkap ikan dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE