KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman fitnah Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berhubung dakwaan kenyataan fitnah pada satu forum di sebuah univerisiti empat tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi memutuskan demikian selepas mendapati Hannah selaku plaintif gagal membuktikan Musa sebagai defendan mempunyai niat jahat dan kenyataan yang dikeluarkannya itu berunsur fitnah.
Dapatan mahkamah adalah majlis forum itu dilindungi keistimewaan dan Musa mempunyai alasan yang munasabah dalam kenyataannya berdasarkan pengakuan dan penulisan Hannah dalam bukunya, Becoming Hannah: A Personal Journey.
“Kenyataan itu dibuat pada forum yang membincangkan isu keselamatan negara, di mana defendan bercakap sebagai bekas ketua polis negara mengenai ancaman keselamatan yang dirasakan dan tiada bukti sebarang niat jahat kerana defendan membuat kenyataan berdasarkan analisis akademik dalam konteks kebimbangan terhadap keselamatan negara.
“Defendan hanyalah penceramah jemputan tanpa mengetahui forum akan disiarkan dan hanya mengetahui penstriman Facebook Live pada penghujungnya. Dia tidak mempunyai kawalan ke atas penerbitan (kenyataan) itu,” katanya.
Justeru dengan keputusan itu mahkamah memerintahkan Hannah membayar kos sebanyak RM40,000 kepada Musa.
Menerusi saman yang difailkan pada 3 Julai 2020, Hannah mendakwa Musa memberi ucapan pada forum itu dengan mengeluarkan kenyataan tidak benar mengenai dirinya dan dibuat dengan niat jahat serta mencemarkan nama baiknya.
Kenyataan yang dipertikaikan itu mendakwa Hannah menulis bukunya Becoming Hannah: A Personal Journey. untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian, merosakkan Islam dan Malaysia, dan meletakkan kepentingan peribadinya di atas kepentingan negara. – KOSMO! ONLINE