SELAYANG – Kes melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), Nasiruddin Mohd. Ali bersama isteri, Azura Md. Yusof dan 20 lagi individu yang didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Selain Nasiruddin, 65, dan Azura, 57, 20 lagi individu yang didakwa ialah Hasnan Abd Hamid, 53, Mohammad Adib At-Tarmizi Asa’ari, 32, Mohd. Shukri Mohd. Noor, 53, Mokhtar Tajuddin, 60, dan Shuhaimi Mohamed, 56.
Turut didakwa Muhammad Afdaluddin Latif, 34, Mohamad Sayuti Omar, 35, Mohd. Fazil Md Jasin, 57, Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 34, Muhammad Zahid Azhar@Nadzri, 51, Abu Ubaidah Ahnad Shukri, 34, dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 28.
Tertuduh lain ialah Hamimah Yakub, 72, Asmat@Asmanira Muhammad Ramly,44, Mahani Kasim, 54, Siti Hajar Ismail, 51, Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 27, Nurul Jannah Idris, 28, Nur Jannah Omar, 32, serta Siti Salmiah Ismail, 57.
Hakim Lailatul Zuraida Harron @ Harun membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Pada 22 Oktober lalu, mereka didakwa di mahkamah, namun tiada pengakuan direkodkan berikutan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang kumpulan GISBH di sebuah lokasi di Bandar Country Homes, Rawang pada Oktober 2020 hingga 11 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun.
Terdahulu, semasa prosiding, peguam Datuk Rosli Kamaruddin tidak membantah permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
“Namun kami akan membuat permohonan di Mahkamah Tinggi untuk melucut penahanan penjara secara bersingan yang dibuat ke atas dua anak guam saya iaitu Nasiruddin dan Azura di penjara Sungai Buloh dan Kajang.
“Kami akan membuat permohonan pada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan akan dapatkan surat sokongan polis untuk kedua-duanya ditempat di sel biasa,” kata Rosli.
Selain Rosli, tertuduh-tertuduh diwakili peguam-peguam Muhammad Zaim Rosli, M.Hafiz Zainol Abidin dan Boestamam Ahmad.
Sementara itu seorang lagi peguam Najib Zakaria berkata pihaknya juga akan membuat permohonan perintah larangan bersuara (gag order) di Mahkamah Tinggi kerana kes itu tertakluk kepada perbincangan umum bersifat subjudis yang dikhuatiri akan mengganggu perjalanan kes.
Sementara pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norinna Bahadun.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, pertuduhan itu dibuat selepas kertas siasatan itu telah dirujuk dan ditaklimatkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Pada 16 Oktober lalu, Nasiruddin antara 16 individu yang ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zin berkata, sejak Op Global dilancarkan pada 11 September lalu 58 individu ditahan di bawah SOSMA termasuk 16 orang yang merupakan pengurusan tertinggi GISBH.
Mereka antara 415 individu yang ditahan dalam Op Global hingga fasa keempat
Selain itu, seramai 35 individu masih dalam tahanan reman, 273 orang dijamin, 37 individu dibebaskan tanpa syarat, dua orang diserahkan kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan seorang lagi kepada Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran. – KOSMO! ONLINE