fbpx

Gempak! Showcase Misha Omar bertaraf konsert

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKSI comel dan kepetahan anak Misha Omar, Idris memperkenalkan ibunya ketika showcase penyanyi itu malam tadi mencuit hati 2,000 penonton.

PETALING JAYA – Keletah anak penyanyi Misha Omar, Muhammad Idris Ezzwa yang membuka gelanggang sebagai pengacara Misha Omar Back To Basic Showcase malam tadi mencuit hati ramai.

Kira-kira 2,000 penonton yang menyaksikan persembahan Misha atau nama sebenarnya Samihah @ Aisah Omar terhibur melihat gelagat kanak-kanak berusia lapan tahun itu memperkenalkan ibunya kepada khalayak.

Bagai disebut si kecil petah berbicara itu, insan paling disayanginya mempunyai bakat luar biasa dengan vokal hebat bak bidadari sehingga mampu membuatkan penonton bagai dipukau sepanjang dua jam persembahan berlangsung.

Bukan hanya lagunya sepanjang 22 tahun bergelar anak seni diperdengarkan, Misha turut menyampaikan repertoire penyanyi lain termasuk seleksi hit artis antarabangsa.

Paling mencuri perhatian tentu sahaja aksinya yang lincah menari ketika menyanyikan lagu Oops! I Did It Again serta Bye Bye Bye nyanyian asal Britney Spears dan NSYNC secara ‘mashup’.

Menurutnya, dia hanya menghadiri tiga kelas tarian dalam tempoh singkat sebagai persediaan  segmen ‘mashup’ selain ketika menyampaikan lagu Dolla, Watch Me Glow.

“Sebenarnya, tak nafikan saya penyanyi paling malas bergerak. Saya belajar menari hanya tiga kelas dan setiap sesi 40 minit disebabkan kesibukan saya.

“Jadi, sudah tiba masanya untuk ‘si ketam tua jalan kiri kanan depan belakang’. Memang sukar pada mulanya tapi saya suka.

“Orang pun tak tahu mereka berusia 40-an juga sukakan Dolla. Lirik lagu mereka bagus sekali, sangat memberi inspirasi. Jadi, saya cubalah,” katanya pada sidang media selepas showcase.

Bagai tiada lelah, aksi Misha yang ‘enjoy’ pada setiap minit persembahan disulami jenaka bersahaja membuatkan JioSpace  yang menjadi lokasi konsert terus hidup.

Bermula dengan Cinta Adam dan Hawa, Sembunyi, Dedebu Cinta sehingga pentas ditutup bersama Semoga Abadi, penonton termasuk Gen Z tidak berhenti nyanyi bersama.

Seleksi wajib lain adalah Tiada Ruang Untukmu, Tiada Aku Mengerti, Pulangkan, Ku Seru, Masihkah Ada Rasa itu, Bunga-Bunga Cinta, Sampai Bila selain lagu popular penyanyi Indonesia iaitu Badai Telah Berlalu, Sialan serta Kupu-Kupu.

Memberi penghargaan kepada penyanyi muda, penerima trofi Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) sebanyak tiga kali itu memperdengarkan lagu Masing-Masing (Ernie Zakri), Peluang Kedua (Nabila Razali) dan Semalam (Aina Abdul).

Momentum persembahan showcase yang disifatkan ramai bertaraf konsert itu turut diselitkan lagu Die With A Smile nyanyian asal Bruno Mars bersama Lady Gaga yang disampaikan duet dengan Juara Bintang RTM 2018, Hariz Fayahet.

Teman seperjuangan yang hadir memberikan sokongan terdiri daripada Ella, Aina Abdul, Ernie Zakri, Syamel, Shila Amzah serta Nabila Razali. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI