fbpx

Bekalan darah di HRPZ II hanya mampu bertahan tiga hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Selasawati (dua dari kanan) bertemu dengan seorang anggota Jabatan Amal Negeri Kelantan yang menderma darah pada Majlis Amal Mega Blood Donation 2021, Semarak Kasih Amal di HRPZ II, Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini berdepan detik getir ketika ini apabila bekalan darah yang berada dalam simpanan hospital itu hanya mampu bertahan dalam tempoh tiga hari sahaja.

Pengarah HRPZ II, Datuk Dr. Selasawati Ghazali berkata, bekalan darah semakin berkurang berikutan keadaan semasa susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan baru-baru ini.

Katanya, keadaan itu menyebabkan pihak hospital terpaksa mengehadkan program derma darah yang sebelum ini dijalankan secara meluas.

Ujarnya, sebelum pelaksanaan PKPB, hospital itu sering mengadakan program derma darah dengan melibatkan pelajar-pelajar universiti dan kolej selain program di pasar raya.

“Disebabkan kekangan itu, kutipan darah kini hanya tertumpu kepada individu yang hadir ke hospital sahaja. Keadaan ini sekali gus menyebabkan bekalan darah di HRPZ II berada pada tahap yang amat kritikal.

“Bekalan darah di HRPZ II ini akan digunakan untuk menampung bekalan kepada sembilan buah hospital dibawah Kementerian Kesihatan (KKM) dan tiga buah hospital swasta di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Majlis Amal Mega Blood Donation 2021, Semarak Kasih Amal di Jabatan Perubatan Transfusi HRPZ II di sini hari ini.

Dalam majlis itu, kira-kira 100 sukarelawan dari Jabatan Amal Negeri Kelantan hadir menderma darah secara berperingkat dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Mengulas lanjut, menurut Selasawati, secara purata, sebanyak 80 sehingga 100 beg darah setiap hari diperlukan untuk memenuhi keperluan hospital-hospital tersebut.

Katanya, pihak hospital memerlukan bekalan semua jenis darah untuk menjalani prosedur pembedahan, pesakit Talasemia dan ibu mengandung yang mengalami tumpah darah.

“Dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita berharap kes trauma ataupun kemalangan kurang berlaku sekaligus dapat menurunkan permintaan keperluan darah.

“Oleh itu, saya merayu kepada rakyat di Kelantan agar dapat hadir ke hospital untuk menderma darah memandangkan pihak hospital tidak dapat mengadakan program di luar ketika ini,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI