KOTA BHARU – Sepasang suami isteri hanya mampu berputih mata apabila rugi lebih RM13,100 selepas diperdaya individu menyamar pegawai kerajaan yang kononnya berminat menempah katering, cenderahati dan khemah dengan mereka pada minggu lalu.
Nik Roslina Raja Ismail, 43, dan suaminya, Nik Hassanuddin Nik Harun, 44, tertipu selepas menerima mesej menerusi WhatsApp daripada seorang lelaki yang berminat untuk membuat tempahan katering dengan kedai makan mereka.
Nik Roslina berkata, dia menerima mesej pada 11 Disember lalu daripada seorang lelaki yang mahu membuat tempahan katering makan malam untuk 100 orang dengan bajet RM50 seorang di restoran milik di sini pada 13 Disember.
Menurutnya, lelaki itu turut memberikan surat sebut harga dengan kepala surat sebuah kementerian dengan mengatakan tempahan itu sah.
“Semasa hari sepatutnya majlis tersebut berlangsung, lelaki terbabit memaklumkan bahawa program itu ditunda ke 15 Disember.
“Kira-kira pukul 4 pada hari majlis yang kedua yang sepatutnya program tersebut diadakan, lelaki itu meminta saya menyediakan cenderahati (doorgift) untuk 100 tetamu dan memberikan nombor telefon seorang pembekal barangan terbabit di Rantau Panjang.
“Pembekal itu kemudian meminta saya membayar sebanyak RM9,800 dengan setiap satu cenderahati berharga RM98 kepada satu akaun bank. Dia memaklumkan bahawa bayaran semula akan diberikan selepas ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.- KOSMO! ONLINE