JAKARTA – Seorang anggota polis di Indonesia mengundang kecaman ramai selepas melakukan kekerasan terhadap seorang pemandu dan membawa lari kereta mangsa, lapor portal berita Tribunnews.
Kejadian berlaku di bandar Ambon, wilayah Maluku semalam.
Rakaman dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @yusril_fakaubun menunjukkan pegawai itu menarik kunci kereta melalui tingkap kenderaan tersebut sebelum menarik pemandunya keluar.
Dia kemudian memasuki kereta tersebut sebelum membawanya pergi.
Punca kejadian masih belum diketahui.
Rakaman itu mencatatkan lebih 381,800 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Nanti polis akan keluarkan permohonan maaf seperti biasa,” sindir seorang pengguna media sosial. – AGENSI