RIYADH – Jaguh tinju Ukraine, Oleksandr Usyk membuktikan dia layak untuk mengekalkan gelaran ‘Raja Heavyweight’ selepas menewaskan Tyson Fury melalui keputusan sebulat suara di Kingdom Arena, semalam.
Kemenangan tersebut membolehkan Usyk mengekalkan gelaran heavyweight dunia WBA (Super), WBO, dan WBC selepas mengatasi Fury 116-112 hasil keputusan ketiga-tiga pengadil.
Ini adalah kali kedua Usyk menundukkan Fury selepas kejayaan pada Mei lalu yang mengesahkan dirinya sebagai juara heavyweight tanpa tewas kepada rekod 23-0 dan menambah pencapaian cemerlang dalam kariernya termasuk gelaran emas Olimpik.
”Dia (Fury) seorang pejuang yang hebat dan ini adalah persembahan terbaik daripadanya. Apapun saya telah melakar kemenangan hari ini dan ia adalah baik.
“Saya bukan pengadil, saya adalah atlet,” kata Usyk biarpun ada pihak yang tidak berpuas hati dengan kemenangannya ke atas Fury.
Dalam pada itu, kekalahan tersebut menimbulkan persoalan besar terutama mengenai masa depan Fury kerana pada 2022 dia telah mengumumkan persaraan sebelum kembali ke gelanggang semula.
“Saya rasa saya menang kedua-dua perlawanan, tetapi rekod menunjukkan saya tewas dua kali. Saya hanya boleh berjuang dengan sepenuh hati dan lakukan yang terbaik. Tetapi, sampai bila-bila pun, saya akan percaya bahawa saya menang pertarungan ini,” kata Fury. – AGENSI