fbpx

14 individu dikompaun melepak di kawasan pantai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noorzainy (tengah) menemui beberapa individu yang melepak di kawasan sekitar Pantai Bersih, Butterworth hari ini.

SEBERANG PERAI – Seramai 14 individu masing-masing dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 oleh polis selepas didapati mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan sekitar Pantai Bersih, Butterworth di sini hari ini.

Dalam operasi selama dua jam bermula pukul 4 petang itu, ada di antara mereka yang berusia di antara 20 hingga 40 tahun itu didapati sedang melepak dan mahu berkelah di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, sebahagian individu terbabit juga gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti tidak memakai pelitup muka dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

“Tiga daripada mereka didapati melakukan kesalahan merentas daerah tanpa kebenaran, manakala yang lain cuba untuk berkelah di sekitar kawasan pantai ini.

“Semasa PKP sepatutnya semua kena duduk di rumah melainkan jika ada urusan penting, namun masih ada lagi yang berdegil,” katanya kepada pemberita ketika operasi di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pantai Bersih hari ini.

Operasi berkenaan turut disertai wakil Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Jabatan Kesihatan Negeri dengan keanggotaan 62 orang.

MBSP turut mengeluarkan 14 kompaun dan satu notis terhadap peniaga atas beberapa kesalahan antaranya berniaga tanpa lesen, tiada suntikan tifoid dan tidak memasang penapis minyak.

Dalam pada itu, Noorzainy berkata, pihaknya turut mengesan tiga laluan tikus di sekitar Tasek Gelugor yang menghubungkan daerah berkenaan dengan daerah Kulim, Kedah.

“Sebanyak empat pasukan sekatan jalan raya bergerak sentiasa memantau laluan berkenaan iaitu jalan-jalan sawah padi untuk mengelakkan rentas negeri melalui jalan itu semasa PKP.

“Bagaimanapun setakat ini tiada sebarang tindakan dibuat kerana orang ramai masih patuh,” katanya lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI