PETALING JAYA – Jelitawan Malaysia, Rashmita Rasindran dinobatkan sebagai Miss Charm 2024 dalam pertandingan yang berlangsung di Bandar Ho Chi Minh, Vietnam semalam.
Kemenangan Rashmita menjadikan dia wakil kedua Malaysia yang berjaya memenangi mahkota pertandingan ratu cantik antarabangsa itu selepas Kavita Sidhu yang pernah memenangi gelaran sama pada1990.
Rashmita telah menambat hati barisan juri dengan persembahan memukaunya serta kebijaksaannya menjawab soalan sekali gus menewaskan 35 peserta lain dari serata dunia.
Rashmita dalam wawancara selepas bergelar juara berkata, dia bagaikan bermimpi dapat membawa pulang mahkota Miss Charm kembali ke Malaysia selepas 34 tahun.
“Saya masih rasa terkejut. Matlamat saya adalah untuk menang, tetapi perjalanan saya tidak mudah kerana peserta lain juga layak menang kerana mereka semua sangat hebat.
“Saya rasa sangat terharu dan sangat beremosi ketika ini. Kini saya mempunyai tanggungjawab yang besar sebagai Miss Charm 2024. Saya harap dapat jalankan tanggungjawab saya dengan baik. Malaysia Boleh!” katanya.
Tempat kedua telah dimenangi wakil Australia dan tempat ketiga pula menjadi milik wakil tuan rumah, Vietnam.
Pertandingan Miss Charm buat pertama kalinya dianjurkan pada 1990 yang mana menyaksikan wakil Malaysia, Kavitha Sidhu dinobatkan sebagai juara edisi pertama.
Namun pertandingan itu tidak dianjurkan sehinggalah tahun 2023 apabila wakil Brazil muncul sebagai pemenang selepas 33 tahun. – KOSMO! ONLINE