fbpx

Wajar contohi jiwa Jimmy, Fazrul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAZRUL (kanan) dan Jimmy (No. 5) antara pemain baharu yang dipanggil untuk aksi Piala Asean dan memberikan aksi sepenuh jiwa buat Harimau Malaya.

BERMAIN demi lencana di dada harus tersemat rapi dalam sanubari setiap pemain yang dipanggil menyertai pasukan kebangsaan pada masa akan datang.

Berdasarkan pemerhatiannya sepanjang kempen Piala ASEAN 2024, bekas penolong jurulatih Kuching City, Sulaiman Husin begitu tertarik dengan semangat yang ditunjukkan Jimmy Raymond dan Fazrul Amir Md. Zaman.

“Mungkin pada perlawanan pertama dia melakukan kesilapan, tetapi Jimmy antara pemain yang menarik perhatian, begitu juga dengan Fazrul Amir. Kita tidak tahu selepas ini adakah mereka masih dipanggil atau tidak tetapi apabila dipanggil mereka begitu hargai peluang itu.

“Mereka begitu menghargai setiap inci peluang panggilan kali ini. Macam Vietnam, apabila dapat peluang, pemain mereka beraksi seperti berada di medan perang.

“Selepas ini kalau ada anak Borneo berpotensi, tolong panggil kerana semangat mereka cukup bagus cumanya sekarang mereka kurang dapat pendedahan,” katanya.

Terdahulu, hasrat Harimau Malaya untuk mara ke separuh akhir Piala ASEAN 2024 tidak terlaksana apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat lalu.

Sementara itu, jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim seakan senada dengan Sulaiman yang turut tertarik dengan aksi Jimmy.

“Memang dia pernah main di bawah kendalian saya dan saya boleh katakan dia memiliki kerajinan serta kelajuan. Cumanya mungkin dia kurang daripada segi pengalaman.

“Kita tidak boleh nafikan kesungguhan pemain pada aksi dengan Singapura, cumanya kita kurang pemain yang ada kemahiran individu untuk menghadirkan kelainan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI