fbpx

67 pekerja kilang nyaris maut akibat mendapan tanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan mendapan tanah di sekitar Jalan PKPS, Kampung Bestari Jaya, Kuala Selangor.

KUALA SELANGOR – Seramai 67 pekerja dua buah kilang termasuk pemprosesan baja makanan ayam nyaris maut apabila mendapan tanah berlaku berhampiran asrama mereka di Jalan PKPS, Kampung Bestari Jaya, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 petang itu, semua pekerja berjaya dipindahkan ke lokasi selamat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba 1 Hafisham Mohd. Noor berkata, seramai 14 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya dan Batu Arang dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 6.51 petang.

Kata beliau, pihaknya turut mendapat bantuan daripada pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Hasil pemeriksaan mendapati berlaku mendapan tanah yang dianggarkan berkeluasan 500 x 100 meter (m) persegi dan berkedalaman 10m.

“Namun, kita mendapati tiada mangsa terlibat atau cedera dalam kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.

Tambah Hafisham, pihak kilang itu dinasihatkan menghentikan operasi kilang buat sementara waktu.

“Pekerja yang menetap di asrama dan rumah kongsi itu turut dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang, Bestari Jaya.

“Setakat ini, pemeriksaan mendapati lokasi kejadian berada dalam keadaan terkawal,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa meminta orang ramai berhenti menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian tersebut.

“Semua individu yang berada di sekitar lokasi kejadian dalam keadaan selamat dan masih ditempatkan di dewan pemindahan setakat ini,” katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 37 saat di media sosial memaparkan kejadian itu dengan mendakwa ada mangsa yang tertimbus. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI